Soal & Jawab

Apa Ertinya Pilih Kasih

oleh Jamilah Samian

 

SOALAN : Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya dan isteri sedang menunggu kelahiran anak sulung kami. Saya dibesarkan dalam keluarga lima beradik. Masalah saya ialah, sepanjang saya dibesarkan, bapa saya suka bersikap pilih kasih. Anak emasnya ialah adik lelaki saya yang lebih muda dua tahun daripada saya yang sering mendapat layanan istimewa. Mungkin kerana dia lebih pintar di sekolah, lebih segak dan kerap dipuji guru dan saudara-mara. Sikap bapa saya ini seringkali menimbulkan rasa cemburu dan iri hati di kalangan adik-beradik yang lain, termasuk saya sendiri. Saya berpendapat sikap pilih kasih adalah satu kesalahan mendidik anak dan tidak mahu mengulanginya dalam keluarga saya sendiri. Apakah pandangan Puan? Terima kasih.

JAWAPAN.: Waalaikumsalam Tuan Z. Tahniah kerana bakal menjadi seorang bapa. Benar, pilih kasih adalah satu kesalahan dalam mendidik anak dan tidak harus dipraktikkan dalam keluarga. Terdapat dua jenis pilih kasih: KETARA dan TIDAK KETARA.

PILIH KASIH YANG KETARA

Pilih kasih yang ketara boleh dikenalpasti dengan mudah.

Contoh: Ibu bapa yang sangat mementingkan pencapaian akademik mungkin terdorong untuk mengamalkan pilih kasih yang ketara. Katalah anda mempunyai seorang anak yang sering memperoleh pencapaian cemerlang. Anda gemar memuji anak ini, sering membelikannya hadiah, manakala bakat dan pencapaian anak-anak yang lain tidak dipedulikan.

Contoh: Ataupun anda mempunyai dua orang anak perempuan dan merasakan yang seorang lebih cantik daripada yang seorang lagi. Mungkin anda suka membeli pakaian yang lebih mahal untuk anak yang anda rasakan lebih cantik itu.

PILIH KASIH YANG TIDAK KETARA

Pilih kasih yang tidak ketara lebih sukar untuk dikesan. Kanak-kanak mempunyai daya pemerhatian yang tajam. Nada suara, bahasa dan gerak-geri anda ketika berinteraksi dengan seseorang anak itu akan diperhatikan oleh anak-anak yang lain. Kenapa Ayah lebih mesra bila bercakap dengan adik? Kenapa Mak kelihatan lebih ceria bila kakak balik dari sekolah? Bagi kanak-kanak, cara anda memperlakukan mereka adalah satu ukuran sejauh mana anda menyayangi mereka.

MEMBEZA-BEZAKAN ANAK

Seorang anak akan terasa tersinggung dan kecil hati jika dia dibandingkan dengan anak-anak yang lain.  Ungkapan seperti

  • “Mengapa Din tak boleh jadi macam Along?”; atau
  •  “Kak Nina tak akan sanggup buat begitu seperti kamu”; atau
  • “Adik kamu dua tahun lebih muda daripada kamu tetapi dia lebih bertanggungjawab daripada kamu!”

Ini boleh merendahkan harga diri dan keyakinan seseorang anak.

Elakkan daripada membanding-bandingkan anak anda dengan orang lain, tidak kira sama ada dengan adik-beradiknya sendiri, sepupu atau kawan-kawannya. Apabila kita membuat perbandingan sebegini, anak-anak menganggapnya sebagai satu ukuran harga diri mereka.

PERBANDINGAN YANG BERMANFAAT

Anda boleh membuat perbandingan hanya jika anda ingin merujuk kepada pencapaian atau tingkah lakunya sebelum ini. Sebagai contoh, anda boleh berkata:

  •  “Terima kasih, Jun, kerana membuang sampah hari ini.” (bermakna dia tidak membuang sampah semalam); atau
  •  “Hmm .. Penggal lepas Zin dapat C untuk subjek Geografi dan penggal ini pula dapat B. Ini satu peningkatan,      Alhamdulillah.”; atau
  • “Ayah lihat Ina kemaskan sendiri barang-barang Ina di atas meja tu pagi tadi. Baguslah macam tu.”

KEBURUKAN PILIH KASIH DAN MEMBEZA-BEZAKAN ANAK

Tabiat pilih kasih dan membeza-bezakan anak-anak menonjolkan kelemahan seseorang anak sekaligus menonjolkan kelebihan anak yang lain. Bila anda pilih kasih atau membezak-bezakan anak-anak anda, anak yang kurang menyerlah itu akan merasa dirinya kurang istimewa. Manakala anak yang sentiasa dipuji dan diraikan akan merasa dirinya lebih istimewa dan lebih penting daripada orang lain.

Anda mungkin berfikir, dengan membeza-bezakan anak-anak anda, anak yang tidak diberi layanan istimewa akan lebih gigih untuk menyaingi orang lain. Tetapi ini tidak benar. Tabiat ini hanya akan membuatkan seorang anak berfikir, “Saya tahu saya tak akan boleh jadi seperti kakak. Jadi, buat apa saya susahkan diri nak mencuba?”

Tabiat pilih kasih dan membeza-bezakan anak-anak boleh membuatkan anak anda berasa kurang percaya pada dirinya sendiri dan kurang yakin dengan kemampuannya sendiri. Ini boleh menimbulkan perasaan dengki, cemburu, iri hati dan benci sesama adik-beradik sendiri.

TANGANI ISU CEMBURU DAN IRI HATI ADIK-BERADIK

Sekiranya setiap anak anda merasakan dirinya ada keistimewaan sendiri dan keistimewaan ini cukup bernilai pada mata anda, kesemua anak anda akan lebih yakin dan bahagia serta dapat bergaul tanpa rasa iri hati, cemburu dan benci. Perkelahian dan berbalahan di antara mereka juga akan berkurangan. Hasilnya, fikiran anda suami-isteri dan suasana di rumah akan menjadi lebih tenang dan harmoni. Anda boleh mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani isu cemburu dan iri hari di kalangan anak-anak anda dengan bersikap adil.

SIKAP ADIL

Satu cara anak-anak menentukan sama ada ibu bapa mereka bersikap adil adalah ketika mereka berkelahi. Apabila anak-anak berkelahi, elakkan daripada menyebelah mana-mana pihak serta-merta, walaupun pada ketika itu anda merasakan seorang anak memang bersalah dan anda patut menegurnya.

Sebaliknya, nasihatilah mereka dengan kata-kata seperti, “Ayah rasa tentu kamu boleh selesaikan masalah ini dengan cara yang lebih baik.” Selalunya, ini sudah memadai untuk membuatkan mereka berhenti berbalah dan cuba untuk menyelesaikan perbalahan itu dengan cara yang lebih baik.

BEBERAPA LANGKAH UNTUK MELERAIKAN PERBALAHAN

Berhati-hatilah kerana perbalahan boleh bertukar menjadi satu perkelahian berbentuk fizikal seperti menumbuk, menarik rambut, menendang dan sebagainya, terutamanya di kalangan anak-anak lelaki. Jika ini terjadi, anda perlu masuk campur serta-merta.

Perkelahian di antara anak-anak kecil lebih mudah dileraikan berbanding anak-anak yang lebih besar.  Untuk anak remaja mungkin lebih rumit dan perlu dikendalikan dengan lebih bijaksana.

Perebutan ruang peribadi satu isu besar bagi anak belasan tahun. Perkelahian ini juga boleh menyebabkan bebanan emosi.

Apa yang anda boleh lakukan ialah dengan memainkan peranan sebagai orang tengah. Elakkan daripada menyebelahi mana-mana pihak.

Satu cara yang boleh anda cuba ialah dengan berbincang dengan kedua belah pihak secara berasingan terlebih dahulu. Ini membolehkan masing-masing meluahkan perasaan dalam situasi terkawal dan lebih tenang. Anda juga boleh mendengar luahan hati mereka tanpa sebarang gangguan daripada ahli keluarga lain.

Ketika berbincang, dengarlah apa yang diperkatakan oleh anak anda tanpa memberi sebarang komen terlebih dahulu. Elakkan daripada mencelah atau membuat interpretasi anda sendiri yang tidak perlu. Biarkan anak anda luahkan perasaannya sepuas-puasnya.

Kemudian pastikan anda benar-benar faham apa yang disuarakannya. Tanyakan soalan seperti, “Jadi, kamu marah kerana …”

Seterusnya, sampaikan ketidakpuashatian anak ini kepada anak yang seorang lagi.

Dengarkan isi hati kedua-dua mereka dengan adil. Tanyakan soalan-soalan yang mencetuskan empati seperti, “Bagaimana perasaan Imah jika Angah lakukan perkara yang sama kepada Imah?”Anda mungkin akan diberi jawapan seperti: “Tapi itu yang dia lakukan pada saya dulu!” Jika ini berlaku, katakan yang anda faham bahawa dia marah, tetapi tekankan betapa pentingnya sikap saling memaafkan antara satu sama lain dan mengambil iktibar daripada perselisihan faham tersebut.

Perbincangan yang efektif akan membuatkan semua pihak gembira dan lega. Jika anda berjaya meleraikan ketegangan tersebut dengan baik, kedua-dua anak anda yang bertelagah akan lebih mempercayai dan menghormati anda.

KESIMPULAN

Ingatlah: Bersikap adil TIDAK bermakna memberikan sesuatu kepada setiap anak dalam kuantiti yang sama. Bersikap adil bermakna memberi setiap anak apa yang wajar diperolehinya. Setiap anak adalah individu yang unik dan memiliki kualiti, keperluan dan bakat yang istimewa. Inilah yang harus diakui oleh setiap ibu bapa dengan sebaiknya. Masalah iri hati, cemburu dan dengki mendengki di kalangan anak-anak tidak seharusnya dibiarkan dalam sebarang keluarga. Jika ibu bapa bijak memainkan peranan, sikap-sikap negatif ini tidak akan menular dalam keluarga. Sebaliknya, kemesraan dan sikap tolong-menolong akan mendapat tempat dan hidup subur di hati setiap anak anda. Wallahua’lam

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top