Rahsia Mendidik Anak Hebat

Cara Paling Bijak Mendidik Anak Menjadi Penyabar

oleh Jamilah Samian

Photo by Mark Soller on Flickr

 

Tentunya anda pernah terbaca pelbagai kaedah untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Namun ada satu cara yang diakui semua pakar sebagai Cara Terbaik, Paling Bijak danPaling Efektif untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Cara ini namanya Role ModelingRole Modeling bermaksud menjadikan diri anda sebagai contoh atau model untuk ditiru oleh anak anda.

Anak-anak mendengar apa yang anda perkatakan tapi meniru apa yang anda buat. Anak-anak memang suka meniru. Kanak-kanak yang dijaga oleh ibu bapa, tentunya suka meniru apa yang dibuat oleh ibu dan bapa mereka. Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya tentang erti kesabaran.

Seperti anda, saya juga biasa membaca tentang tips mendidik anak menjadi orang yang penyabar. Tapi saya yakin, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya jauh lebih berkesan daripada apa yang saya baca dalam pelbagai buku.

Yang menariknya, bapa saya ini jarang berada di rumah. Terlalu jarang. Malah, bapa saya tidak pernah datang ke kenduri kahwin sepupu-sepupu saya, kenduri keluarga, atau makan malam bersama keluarga.Jika ada saudara-mara yang meninggal dunia sekalipun, kelibatnya tidak kelihatan dan hanya diwakili oleh ibu saya. Lazimnya dia ada di rumah lewat malam selepas balik dari kerja. Itu pun dalam keadaan letih lesu, hampir tiada tenaga untuk bergurau dan bermesra dengan anak-isteri.

Oh ya, satu-satunya waktu ayah saya ada di rumah ialah di Hari Raya. Itu pun sekejap sahaja. Cukup untuk solat Hari Raya sebelum bergegas pulang untuk menyalin pakaian dan pergi kerja semula. Ayah saya seorang pemandu bas. Pekerjaannya apa yang disebut sebagai ‘kolar biru’ atau buruh. Dia hanya dibayar gaji yang rendah mengikut berapa jam dia memandu bas. Akibatnya, bapa saya tidak pernah mampu untuk mengambil cuti langsung.

Ada dua kisah bapa saya yang ingin saya paparkan di sini, mengenai bagaimana arwah mendidik saya dan adik-beradik saya untuk belajar bersabar.

Bersabar Untuk Mendapat Apa Yang Dihajati

Sewaktu saya di sekolah menengah, skim pinjaman buku mula diperkenalkan. Pelajar bumiputra diberi pinjaman buku dengan syarat buku-buku tersebut dipulangkan pada akhir tahun. Tujuannya supaya buku-buku tersebut boleh dipakai semula oleh pelajar-pelajar yang naik tingkatan. Jika nasib baik, dapatlah buku baru. Jika tidak, dapatlah buku yang sudah dipakai oleh orang lain.

Saya masih ingat ketikanya apabila saya memberitahu bapa saya tentang skim pinjaman buku ini. Saya tunjukkan borang yang perlu diisi. Tetapi dia hanya berkata, “Tak payah pinjam buku. Kalau pinjam dapat buku bekas orang sudah guna, mungkin buku tu dah diconteng atau ada yang koyak halamannya. Kalau dapat buku baru, kena dipulangkan pada hujung tahun. Lah (nama timangan saya di rumah, singkatan dari Jamilah) tak boleh gunakan lagi untuk rujukan tahun seterusnya.” Begitulah tegasnya bapa saya.

Rumah di mana saya dan adik-beradik saya dibesarkan kemas dan bersih tetapi tidak secantik rumah orang lain. Malah, bapa saya tidak mampu untuk membeli cat untuk mengecat rumah kami. Oleh itu, dinding rumah kami bolang-boleng; penuh dengan bekas air hujan! Setiap kali hujan turun, ia akan meninggalkan kesan seperti peta dalam Atlas Dunia.

Saya dan adik-beradik serta emak saya cukup maklum mengapa kami berkeadaan begitu. Bapa saya berhempas-pulas bekerja dari awal pagi sehingga malam, bukan sahaja untuk menyediakan makanan yang berzat untuk kami, tetapi juga dia mahu memastikan ada cukup wang untuk membayar yuran sekolah DAN buku baru DAN baju baru untuk Hari Raya setahun sekali. Demikianlah hidup kami seharian, tahun demi tahun.

Sejak kecil, saya dan adik-beradik belajar dari bapa saya bahawa satu-satunya cara untuk berjaya, mendapatkan apa yang kami hajati ialah dengan berusaha dan bersabar. Inilah yang tertanam dalam jiwa saya sehingga saya menjadi pelajar perempuan pertama dari kampung saya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti di luar negara. Malah, kesemua adik-beradik saya berjaya menuntut di universiti; sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah kampung kami.

Bersabar Di Kala Susah dan Sakit

Bapa saya banyak menghabiskan tiga bulan terakhir hayatnya terlantar di hospital di Johor Bahru. Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sana kerana berganti-ganti dengan adik-beradik saya untuk menemaninya. Beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia, bapa saya hampir tidak boleh menelan apa sahaja yang disuakan ke bibirnya. Ini kerana, ada ketumbuhan di dalam kerongkongnya. Yang boleh ditelan sedikit hanyalah beberapa titik air.

Doktor mengenakan sejenis alat disebut sebagai ‘shunt’ untuk memasukkan sedikit cecair nutrien ke dalam tubuh bapa yang semakin hari semakin uzur. Apa yang menghairankan saya ialah, meskipun jelas bapa saya tidak selesa dan menderita, setiap kali saya bertanyakan padanya, “Sakit ke abah?” Dia hanya menggelengkan kepala dan menjawab lembut, “Taklah.” Dia langsung tidak keluh-kesah dengan apa yang dialaminya.

Setiap malam saya di hospital, saya tidur di sofa di sebelah katil bapa. Oleh kerana dia tidak boleh makan atau minum, dia bergantung kepada drip yang dipasang pada urat di pergelangan tangannya. Saya sering tertanya-tanya sehingga kini: Bagaimanakah seorang yang benar-benar menderita boleh begitu sabar dan tenang? Dia cukup redha dengan ujian yang diharunginya. Jauh di lubuk hati saya, saya berazam untuk menjadi orang yang penyabar seperti bapa.

Saya harap dua kisah di atas meyakinkan anda bahawa cara paling bijak, terbaik dan paling berkesan untuk mendidik anak menjadi insan yang penyabar ialah dengan anda sendiri menjadi orang yang penyabar. Tunjukkan contoh pada anak anda apa ertinya kesabaran dengan perbuatan anda sendiri, bukan setakat memberitahunya untuk bersabar.

Bersabarlah jika anda dilanda masalah kewangan. Bersabarlah jika anda dibuang kerja. Bersabarlah jika anda kehilangan orang yang disayangi. Bersabarlah jika anak-anak membuat salah dan silap. Pendekata, bersabarlah jika Allah Maha Pengasih menguji anda. Ingatlah:ANAK-ANAK ANDA TIDAK MENURUT APA YANG ANDA KATAKAN. MEREKA HANYA MENIRU APA YANG ANDA LAKUKAN.

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top