Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan istilah “genius”? Bagaimana caranya untuk mengasuh anak supaya menjadi luar biasa pintar?
Jawapan:
Kata seorang bijak pandai, seorang genius ialah “seseorang yang mempesonakan kita dengan daya cipta dan keupayaan kreatifnya yang luar biasa dalam mana-mana bidang”. Ramai menganggap genius sebagai individu super pintar yang mempunyai memiliki kepandaian jauh lebih tinggi daripada kebanyakan orang. Benarkah tanggapan ini? Pertama sekali, apakah yang dikatakan sebagai “kepintaran” dan bagaimanakah kita mengukurnya?
Darjah Kepintaran (IQ @ Intelligence Quotient)
Sesetengah ibu bapa beranggapan Darjah Kepintaran (IQ) berkait rapat dengan kepandaian.
Sistem IQ yang dirumuskan oleh pakar psikologi Alfred Binet dan pasukannya atas permintaan kerajaan Perancis pada tahun 1904, bertujuan mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas.
Binet sendiri menyatakan kepintaran adalah lebih daripada sekadar nombor yang dikira berasaskan skala. Beliau juga menegaskan kepintaran bersifat subjektif, berkembang secara berbeza mengikut individu, tidak begitu bergantung kepada genetik dan boleh berubah.
Pengkritik ujian IQ berpendapat, IQ lebih kepada menggambarkan sama ada seseorang anak berpotensi meraih prestasi yang baik di sekolah kerana di sekolah, penekanan diberi kepada kemahiran linguistik dan matematik/logik.
Kajian menunjukkan mereka yang tidak mendapat markah ujian IQ yang bagus mampu berjaya dalam kehidupan selepas alam persekolahan.
Ini menyokong pendapat yang mengatakan ujian IQ ini terlalu sempit dan hanya menekankan sudut tertentu kepintaran manusia.
Dalam erti kata lain, kejayaan hidup seseorang tidak dapat ditentukan oleh IQ.
Teori Kepintaran Pelbagai (Multiple Intelligence)
Teori Kepintaran Pelbagai disarankan oleh Dr Howard Gardner, yang mencadangkan manusia mempunyai pelbagai potensi yang luas. Dr. Gardner mengenal pasti lapan jenis kepintaran seperti berikut:
1. Kepintaran Linguistik (pintar perkataan);
2. Kepintaran Logik-Matematik (pintar nombor/ penaakulan);
3. Kepintaran Visual-Spatial (pintar visual-ruang);
4. Kepintaran Badan-Kinestetik (pintar badan);
5. Kepintaran Ritmik (pintar irama);
6. Kepintaran Interpersonal (pintar hubungan sesama manusia);
7. Kepintaran Intrapersonal (pintar hubungan dengan diri sendiri); dan
8. Kepintaran Alamiah (pintar alam semula jadi).
Kepintaran ini sebenarnya tidak beroperasi secara bebas. Sebaliknya, ia saling melengkapi dan menyokong satu sama lain. Seorang kanak-kanak atau dewasa mungkin dikurniakan satu atau lebih kepintaran.
Kejayaan seorang kanak-kanak bergantung pada peluang, pendedahan dan galakan yang diterima. Semuanya kembali kepada prinsip usaha. Seorang kanak-kanak mungkin berbakat, namun adakah bakat itu dapat dimanfaatkan jika tiada usaha dilakukan untuk mengasahnya? Faktor persekitaran juga memainkan peranan yang penting. Walaupun berbakat besar, namun jika kanak-kanak ini tinggal di tempat jauh terpencil dan dikelilingi kemiskinan, mereka mungkin tidak berpeluang merealisasikan bakat mereka.
Bayangkan seorang kanak-kanak berusia dua belas tahun yang tinggal di Guatemala. Dia bekerja di ladang kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran persekolahan. Di sesetengah tempat di Guatemala, penduduknya menyara hidup dengan kurang daripada satu dolar sehari. Bayangkan pula seorang kanak-kanak Kashmir berusia lima tahun yang bekerja dalam industri permaidani, menenun sepanjang hari. Kebuluran dan kemiskinan memaksa jutaan kanak-kanak di seluruh dunia bekerja demi mendapatkan upah yang sedikit.
Pilihlah permainan dan aktiviti yang merangsang pertumbuhan otak anak.
Dr. Gardner percaya sesetengah kanak-kanak dilabel sebagai “kurang upaya dari segi pembelajaran” semata-mata kerana keunikan cara mereka berfikir yang mungkin tidak sesuai dengan acuan standard yang digunapakai. Beliau menyarankan setiap insan mempunyai kesemua lapan kepintaran, tetapi banyak yang tidak diasah, diperkembangkan atau kekal dorman kerana kurang pengalaman.
Teori Kepintaran Pelbagai menyokong pandangan yang mengatakan dalam setiap kanak-kanak ada sekurang-kurangnya satu bakat yang menunggu untuk diserlahkan. Ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak akan menyedari betapa benarnya kenyataan ini. Pasti ada sekurang-kurangnya satu bidang atau jurusan yang menarik minat dan mencetuskan nyala rasa dalam diri mereka.
Setiap kanak-kanak mempunyai keupayaan dan potensi yang luar biasa, untuk menyerlah dalam sesuatu yang berbaloi jika mereka dididik dengan betul. Sebagai ibu bapa, kita berada dalam kedudukan yang unik untuk mencari potensi itu dan menggilapnya. Anak-anak juga perlu dididik tentang cara mengurus kejayaan apabila mereka sudah berjaya mencapai apa yang diinginkan. Kanak-kanak perlu diajar tentang etika seawal mungkin, dalam memainkan peranan mereka untuk berkhidmat kepada dunia. Kejayaan sebenar lebih daripada wang ringgit, kekayaan atau status seseorang. Kejayaan memerlukan kita melakukan yang terbaik dengan apa yang ada dalam tangan setiap hari.
Jika anak anda kurang berjaya di sekolah, cuba lihat jika mereka boleh belajar dengan lebih baik dengan cara lain, lebih daripada sekadar membaca dan menghafal. Konsep Kepintaran Pelbagai membantu kita memahami bahawa setiap kanak-kanak adalah individu unik yang mungkin memerlukan gaya pembelajaran yang berbeza.
Pendekata, terpulang kepada anda untuk mempercayai Teori Kepintaran Pelbagai atau tidak. Lebih penting, kita perlu memahami setiap kanak-kanak dilahirkan penuh dengan potensi. Pemikiran mereka mungkin tidak sama dengan pemikiran kita. Namun, mereka akan berusaha gigih dan InshaaAllah menjadi insan cemerlang sekiranya diberikan ruang, masa dan kasih sayang yang sangat diperlukan.
Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]
Baca artikel asal di sini: Genius & Outstanding Intelligence