Soal & Jawab

Atasi Stres: Imbangi Kerjaya dan Keluarga

Soalan:

Saya seorang ibu muda, menanggung ibu bapa dan adik-adik yang masih bersekolah. Setiap hari saya merasa bersalah meninggalkan anak untuk pergi bekerja. Meskipun saya lebih suka menjaganya sendiri, buat masa ini saya belum dapat berbuat demikian kerana sayalah satu-satunya anak yang dapat menyara ibu bapa dan keluarga.Bagaimanakah caranya saya boleh mengimbangi kerjaya dan keluarga?

Jawapan:

Kerjaya yang mendesak ibu bapa keluar rumah awal pagi, balik lewat senja atau malam, tentunya salah satu punca utama berlakunya stres di kalangan ibu bapa. Bagaimana caranya untuk mencapai keseimbangan antara kerjaya dan keluarga? Bolehkah keseimbangan kerjaya-keluarga dicapai? Jawapan ringkasnya, InsyaaAllah boleh.

Perlu diingat, mengimbangi kerjaya dan keluarga tidak semestinya 50-50; di mana separuh waktu terluang dihabiskan untuk kerjaya dan separuh lagi untuk keluarga. Tidak begitu. Mencari keseimbangan bermakna anda mempunyai matlamat untuk mencapai kejayaan dan kemajuan diri yang boleh diukur dan dapat dirasai, di rumah bersama keluarga, dan di tempat kerja.

Jika anda ingin mencapai keseimbangan yang lebih baik antara kerjaya dan kehidupan rumah tangga dan berkeluarga, cuba pelajari cara untuk mengurus tekanan negatif yang sering melanda.

Rasa Bersalah

Sindrom ini biasa wujud dalam kalangan ibu bapa bekerja kerana kita meninggalkan anak-anak dalam jagaan orang lain. Sesetengah ibu bapa mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah, manakala ada yang menangguhkan kerjaya untuk tempoh beberapa tahun, atau memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Namun, bagi sesetengah ibu bapa, jika mereka tidak keluar bekerja, tiada makanan terhidang di atas meja, contohnya ibu atau bapa tunggal, atau ibu bapa yang fakir dan amat kesempitan hidup sehinggakan keperluan asas tidak boleh dipenuhi oleh ibu atau bapa. Mereka tiada pilihan.

Salah satu cara untuk mengurus rasa bersalah adalah dengan merenung dan menghayati kembali mengapa anda perlu bekerja. Jika anda seorang yang sering mengkritik diri sendiri, kenal pasti lintasan fikiran sedemikian dan sedarlah ia mungkin kebimbangan yang bermain dalam minda anda. Biarkan ia berlalu pergi. Terapkan tabiat berdoa sekerap mungkin, supaya Allah melindungi setiap ahli keluarga anda sentiasa.

Limpahan Emosi Negatif (‘Emotional Spillover’)

Berhati-hati dengan apa sahaja kekecewaan atau stres di tempat kerja. Pastikan anda tinggalkan semuanya di luar pintu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Usah sambut anak-anak, pasangan dan keluarga dengan perasaan negatif, terutama apabila kita sudah seharian berada di tempat kerja.

Keperluan Diri

Sebagai manusia, kita mempunyai keperluan asas yang perlu dipenuhi bagi membolehkan kita menjaga anak-anak dan keluarga. Amalan pemakanan yang baik, contohnya, merupakan suatu kemestian. Jangan sekali-kali mengabaikan diri sendiri. Ibu bapa, terutama pasangan muda sering mengabaikan penjagaan diri dalam kesibukan mengurus pekerjaan dan keluarga. Carilah ilmu dan amalan kesihatan yang paling baik untuk diri dan keluarga. Makanan seperti minyak kelapa dara, minyak zaitun dan madu adalah antara pilihan yang sangat bermanfaat untuk kesihatan badan dan minda.

Dapatkan Bantuan . . .

Pilih untuk lakukan perkara yang perlu sahaja. Contohnya, menjalankan aktiviti yang bermanfaat dengan anak-anak adalah lebih bermakna daripada mencuci kereta sehingga berkilat, sementara anak-anak yang dahagakan perhatian kerana sepanjang minggu ditinggalkan di rumah, merenung sedih di kaca tingkap. Bukankah lebih bijak kalau anda gunakan waktu ini untuk aktiviti bersama si kecil; hasilnya mungkin lebih bermakna dan menyeronokkan. Mungkin kereta anda tidak sekilat yang diharapkan, tetapi kesannya kepada jiwa anak-anak jauh lebih bermakna.

. . . dan Sokongan

Mengakui yang anda memerlukan sokongan bukanlah satu kelemahan. Ia menunjukkan anda seorang insan biasa. Meminta pertolongan orang lain, sama ada ahli keluarga, sahabat atau rakan sekerja, membantu menenangkan fikiran dan membina sistem imuniti anda. Banyak kajian mengaitkan manfaat kesihatan dengan hubungan sosial yang positif.

Kesimpulannya, dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, anda mungkin tidak banyak pilihan dalam urusan berkaitan kerja. Namun, perubahan boleh berlaku jika anda sanggup untuk membuka minda, bersedia untuk menilai diri sendiri dan berusaha menjadi insan yang lebih baik. Contohnya, cuba lakukan perubahan kecil dalam tabiat harian dan saksikan kesannya kepada diri anda. Bayangkan anda sedang berdiri di puncak sebuah gunung sambil mengatur kehidupan sempurna yang anda impikan. Anda perlu mendaki gunung ini setiap hari. Sesekali anda perlu berhenti sebentar dan tentukan sama ada pilihan anda pada hari ini membawa anda lebih dekat atau lebih jauh daripada matlamat sebenar hidup anda, dalam mengimbangi kerjaya dan keluarga.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini: Stress Busters: Balancing Work and Home

Foto hiasan oleh Tatiana Syrikova

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top