Mutiara Kata Hari Ini

10 Kesilapan Mendidik Anak

 

SOALAN:

Saya merasa buntu mendidik anak remaja saya yang berusia 13 tahun. Dia tidak secemerlang abangnya, mudah bertengkar dengan rakan sekelas, tidak yakin dengan diri sendiri dan sering tidak buat tugasan yang diberi guru di sekolah. Sudah puas saya cuba pelbagai pendekatan yang berbeza, cara lembut dan keras, tetapi dia masih tidak menurut cakap saya. Di mana silapnya saya? – Mimi.

JAWAPAN:

Adakalanya, usaha yang ibu bapa lakukan ibarat menuang air ke dalam cangkir yang poros. Penat berusaha, hasilnya tiada. Di sini saya rumuskan beberapa kesilapan ibu bapa, dengan harapan ianya akan membantu anda mengatasi apa juga masalah yang sedang dihadapi.

1. Kurang yakin dengan kebolehan anak sendiri. Tugas ibu bapa menanam keyakinan “aku boleh” dalam sanubari setiap anak sejak kecil lagi. Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa mudah tercalar keyakinannya terhadap potensi seorang anak kerana prestasi akademik yang kurang cemerlang dan sebagainya. Jangan diukur potensi anak anda berdasarkan apa yang dia telah capai selama ini, tetapi apa yang dia boleh capai di masa depan. Jangan bandingkan seorang anak dengan adik-beradik, sepupu atau remaja lain. Hanya bandingkan prestasinya sekarang dengan prestasinya sebelum ini.

2. Kuat berdoa, kurang berusaha. Benar doa adalah senjata seorang Muslim. Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa memilih sikap enggan menyelidik lebih jauh untuk mencari jalan keluar untuk apa sahaja keadaan yang mereka hadapi. Sukar untuk mengharapkan hasil yang baik jika kita memilih kaedah yang sememangnya tidak efektif.

3. Kuat berusaha, kurang berdoa. Teknik mendidik anak sebaik manapun tidak boleh menjamin kejayaan mendidik anak, jika tidak diizinkan Allah. Ibu bapa bijak, bila berhadapan situasi sulit, menganggap ianya ujian dari Allah, sementara tidak henti-henti berusaha mencari jalan penyelesaian di samping sentiasa memanjatkan doa dan harapan kepada Allah.

4. Bertindak terburu-buru. Mendidik anak memerlukan ilmu dan kemahiran asas tertentu yang saling berkait antara satu sama lain. Sesetengah ibu bapa cenderung untuk bertindak terburu-buru, tanpa mengambil masa untuk cuba mengenalpasti punca masalah tersebut. Contohnya, anak yang “buas” di rumah mungkin sebab tertekan di sekolah yang terlalu fokus kepada aspek akademik hinggakan tidak memberi ruang langsung untuk aktiviti berbentuk fizikal.

5. Keliru antara soal disiplin dan “pseudo disiplin”. Disiplin adalah salah satu isu utama untuk anak pelbagai usia. Masalah disiplin adakalanya bersifat “pseudo disiplin”. Iaitu, kelihatannya seperti disiplin, tetapi sebenarnya tiada kena-mengena dengan soal disiplin. Ibu bapa cenderung untuk mengkategorikan apa yang dilihat sebagai “salah laku” anak sebagai masalah “disiplin”. Adakalanya, “salah laku” tersebut tiada kaitan dengan soal disiplin langsung, tetapi didorong oleh keadaan tertentu. Umpamanya, anak kecil berusia 3 tahun yang mengamuk di pasaraya, mungkin kerana terlalu lapar atau letih, bukan kerana mengada-ngada atau sengaja buat perangai untuk menyusahkan ibu bapa.

6. Kurang memahami perkembangan anak-anak. Ada ilmu dan kemahiran asas tertentu yang perlu anda miliki sebagai ibu atau bapa. Dengan ilmu dan kemahiran ini, anda akan berasa lebih yakin dan tenang, kurang menyalahkan diri sendiri dan lebih berwibawa mengendalikan situasi tertentu sesuai dengan perkembangan anak-anak.

7. Bapa lepas tangan. Majoriti yang rajin menuntut ilmu dan berusaha memperbaiki diri mendidik anak ialah kaum ibu. Sedangkan bapa adalah kapten keluarga, kecuali dalam keluarga yang tiada bapa, contohnya ibu tunggal. Bagaimanapun untuk para ibu yang merasa si ayah kurang memainkan peranan, jangan pandang kecil apa juga usaha yang anda lakukan. Perlu diingat, pengaruh ibu terbatas jika bapa memilih untuk tidak memimpin keluarga secara proaktif. Peranan pemimpin keluarga disebut dengan jelas dalam AlQur’an, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala) . . . ” Surah At-Tahrim – 66:6

8. Gagal bekerjasama dengan pihak sekolah. Terlalu sedikit bilangan ibu bapa yang mengambil insiatif untuk pergi ke sekolah, berjumpa guru, sekurang-kurangnya untuk bersua muka, mengucapkan penghargaan, atas usaha dan sumbangan guru mengajar anak mereka. Rata-rata ibu bapa hanya akan datang menemui guru jika timbul masalah. Anak-anak yang tahu ibu bapa mereka bersikap proaktif mencari jalan bekerjasama dan berkomunikasi secara terbuka dengan pihak sekolah, akan berfikir dua kali sebelum membuat sesuatu yang tidak baik.

9. Peraturan yang kabur, tidak konsisten, atau kurang tegas yang tidak kena pada tempatnya. Anak-anak perlukan peraturan yang jelas, mudah difahami, adil dan tidak berat sebelah, bukan mengikut “mood” ibu bapa. Sesetengah ibu bapa begitu tidak selesa dan kekok untuk berhadapan dengan anak, sehinggakan mengelak untuk bersemuka dengan anak, sekalipun dalam situasi yang membabitkan perkara yang lebih serius. Ada situasi kecil yang boleh selesai menerusi SMS sahaja. Ada situasi yang perlukan “one-on-one” antara ibu bapa dan anak. Adakalanya mesej secara SMS atau whatsapp sahaja boleh tambah mengeruhkan salah faham atau mengusutkan keadaan.

10. Mendenda/Memukul anak tanpa terlebih dahulu memberi perhatian yang cukup kepadanya. Anak yang dahagakan perhatian dan kasih sayang ibu bapa sanggup berbuat apa sahaja untuk menarik perhatian ibu bapa. Bermakna, anak anda sanggup dipukul atau didenda hanya kerana dia terlalu rindukan kasih sayang dan perhatian anda. Pastikan ini tidak berlaku, kerana jika keadaan ini berlarutan, kemungkinan akan tiba suatu saat di mana anak anda akan merasa begitu jauh dan renggang dari anda, sehingga dia mencari perhatian dan kasih sayang dari orang lain, yang tidak semestinya sehaluan arah dan tujuan hidup seperti anda.  

Akhir kata, Allah beri ganjaran berdasarkan apa yang kita usahakan, bukan apa yang kita hasilkan. Sebab itu, ibu bapa pantang “give up”! Perubahan memakan masa, hasil yang diharapkan biasanya tidak tercapai dalam sekelip mata. Perlu diingat anak adalah amanah, bukan hak milik mutlak kita. Setiap ibu dan bapa pasti disoal di hadapan Allah nanti, sejauh mana usaha yang dibuat untuk mendidik dan mencorakkan anaknya. Sebab itulah konsep putus asa tidak wujud dalam kamus ibu bapa.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 546 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top