Hasil nukilan: Nor Hemylia Mohd Nor
Perkara pertama yang perlu anda lakukan jika anak anda berumur antara 4-6 tahun dan menunjukkan ciri-ciri disleksia:
1. Dapatkan ujian awal pengesahan disleksia
Jika anak berumur 6 tahun ke bawah, mungkin anda boleh mendapatkan ujian awal pengesahan disleksia dan nasihat daripada Persatuan Disleksia Malaysia.
Tujuan ujian ini adalah untuk:
– memastikan sama ada anak anda berisiko simptom disleksia atau tidak
– mengenalpasti bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh anda sebagai ibu bapa dan guru di sekolah anak anda jika anak anda dikenalpasti anak disleksia
– merangka program intervensi awal untuk anak-anak berisiko simptom disleksia
2. Menerima keputusan ujian dengan hati terbuka
– jangan menyalahkan diri anda, pasangan anda, guru-guru di sekolah anak anda. Terima kenyataan dan berfikir secara positif apa yang anda boleh lakukan untuk membantu anak anda
– beritahu anak anda apa yang mungkin bakal dilaluinya dan yakinkan anak anda yang anda dan pasangan anda akan membantu dia
– berbincang dengan guru anak anda bentuk kerjasama yang boleh dilakukan untuk membantu anak anda
3. Selalu bacakan untuk anak anda selama mana yang anda mampu membaca dan anak mampu mendengar
Cara ini dapat membantu anak anda:
– memperluaskan perbendaharaan kata
– mendengar dengan jelas bagaimana sesuatu perkataan dibunyikan dan penggunaan tanda baca
– menyemai kreativiti kerana mudah bagi anak memahami apa yang dibacakan; dia tidak perlu bersusah payah membaca/cuba meneka perkataan dalam buku
– belajar menyukai buku
– tidak berasa tertekan bila membaca dijadikan aktiviti menyeronokkan bersama keluarga
4. Baca bersama anak anda (‘Paired reading’)
Sediakan pelbagai jenis buku terutama HiLo (‘high interest, low age’). I am a die-hard fan of Eric Carle. Buku-buku Eric Carle sesuai untuk anak-anak berusia 6 tahun ke bawah. Buku-buku cerita yang dijual oleh Scholastic juga menjadi kegemaran saya.
Biarkan anak anda pilih buku yang ingin dibacakan; tunjukkan minat terhadap buku yang dia pilih, cuma pastikan buku-buku yang anda sediakan untuk anak bersesuaian dengan umur (‘age-appropriate books’).
– anak-anak berusia 4-6 tahun gemar cerita dongeng atau khayalan, manusia dan peristiwa yang berlaku di sekeliling kehidupan, cerita jenaka. Jika dia bosan dengan satu buku dan ingin bertukar kepada buku lain, biarkan
– sekurang-kurangnya ambil masa antara 5-15 minit jika anak anda berusia 4 hingga 6 tahun; jangan lebih dari itu. Jika anak anda benar-benar ingin melakukan aktiviti lain, jangan paksa dia untuk baca bersama anda
– baca bersama di tempat yang tidak diganggu oleh bunyi bising
– jika anak anda baca perkataan salah, perbetulkan dia dengan memberitahu perkataan itu selepas 5 saat dia tidak mampu menyebut perkataan betul; tidak perlu suruh dia bunyikan huruf/mengeja
– beri pujian jika dia membaca dengan lancar, jika dia berjaya membaca perkataan yang sukar, juga berjaya meneka perkataan yang sukar
– Bercerita tentang gambar di muka depan dan dalam buku. Jika anak anda habis membaca, tanya apa yang berlaku dalam cerita itu. Jika anak anda sukar memahami apa yang dibacakan, pertimbangkan untuk membaca buku lebih senang
– Rekod aktiviti membaca yang dilakukan – apa yang dibaca, masa yang diambil, bila anak anda boleh membaca dengan lancar, kesilapan yang dilakukan. Buat matlamat jangka pendek (short term goals) untuk anda ingin anak anda capai. Be realistic dengan matlamat yang anda ingin capai.
Ada 2 cara melakukan ‘paired reading’ –
– anda baca bersama anak anda, jangan terlalu laju. Anak anda perlu membaca setiap perkataan. Jika dia menghadapi masalah dengan sesuatu perkataan tetapi kemudian dapat membaca semula, beri dia pujian. Jangan biarkan dia ‘stuck’ lebih dari 5 saat. Bila dia ‘stuck’, anda beritahu dia perkataan itu dan pastikan dia menyebut perkataan itu dengan betul. Pastikan anak anda tunjuk kepada perkataan yang betul bila membaca.
– biarkan dia membaca sendiri jika dia yakin berbuat demikian. Sama seperti cara di atas, jika dia ‘stuck’, anda beritahu perkataan itu.
5. Rangka aktiviti yang menyeronokkan
– antara lama web yang boleh dirujuk Scholastic, MontessoriMom. Ada banyak bahan bantuan mengajar di laman web ini
– jika anak anda minat melukis, galakkan dia melukis sebagai contoh watak dalam buku cerita yang anda baca bersama; ini boleh membantu meningkatkan harga diri dan keyakinan anak
– sentiasa beri pujian kepada anak; tidak perlu tunggu Report Card Day. Buat satu ‘achievement board’ untuk anak anda – apa-apa sijil yang diperolehi, saat-saat manis bersama keluarga dan rakan, sesuatu yang berjaya dikuasai.
6. Bantu anak anda menyahkod (‘decode’) perkataan
– Galakkan anak anda membuat kamus dia sendiri. Setiap perkataan yang berjaya dinyahkod dicatitkan oleh anak dalam kamus beliau.
– Cari perisian yang dapat membantu anak anda menyahkod perkataan. Walaupun terdapat perdebatan sama ada cara ajar anak menggunakan ‘whole word’ atau ‘phonics’ lebih berkesan, mengikut pengalaman saya, lebih baik kedua-dua cara ini digunakan untuk mengajar anak. Perisian ‘phonics’ banyak terdapat di pasaran. Di YouTube juga banyak video-video phonics diajar dalam bentuk lagu. Contoh video ini; diajar bunyi beserta pergerakan.
7. Selalu berbincang dengan guru tentang cara yang sesuai mengajar anak, kemajuan dan kelemahan anak
– Bila memilih sekolah untuk anak anda, pastikan guru ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang disleksia.
– Bila hari ibu bapa bertemu guru (Parent-Teacher’s Day) bawa anak bersama anda. Biar dia tahu pencapaian dia di sekolah. Anak juga dapat melihat kerjasama antara guru dan ibu bapa dan sokongan mereka untuk membantu dia.
8. Pembelajaran di luar kelas
– The whole world is a child’s classroom. Aktiviti biasa seperti membantu anda membuat kuih bukan sahaja dapat menambahkan perbendaharaan kata anak, membantu dalam Matematik bila menyukat acuan, belajar bentuk kuih dan sebagainya. Aktiviti berjalan di padang, membeli barang di kedai, balik kampung boleh membantu proses pembelajaran anak anda secara tidak langsung
– Sertai kumpulan sokongan yang dianggotai oleh ibu bapa yang mempunyai anak disleksia. Kumpulan ini selalu menganjurkan aktiviti untuk anak disleksia dan ibu bapa mereka. Persatuan lain seperti Dyslexia Malaysia juga aktif menyebarkan maklumat di Facebook.
9. Menghadkan waktu menonton televisyen dan penggunaan gadget elektronik
– Televisyen dan gadget elektronik yang memenuhi pasaran kini adalah musuh utama buku. Jika anak anda berumur 7 tahun ke atas, berikan masa sejam sehari untuk televisyen jika perlu. Anak yang berusia bawah 7 tahun, berikan masa kurang dari sejam untuk menonton televisyen. Ada juga ibu bapa tidak membenarkan teevisyen dibuka langsung untuk beberapa hari dalam seminggu. Peraturan ini harus terpakai kepada semua ahli keluarga dan bukan kepada anak-anak sahaja.
– Jangan sediakan televisyen dalam bilik anak kerana ini akan menyebabkan anak leka dan sukar bagi anda mengawal waktu dan berapa lama mereka menonton.
Apa yang penting, bantu anak anda untuk mengenalpasti kelemahan/kekurangan dan kelebihan yang dia ada. Jangan terlalu fokus untuk membaiki kelemahan anak hingga anda terlupa untuk membantu meningkatkan lagi kelebihan yang dia ada.
Biodata Penulis:Nor Hemylia Mohd Nor meninggalkan kerjaya sebagai peguam untuk mendidik anak-anak prasekolah. Mengusahakan tadika Q-dees Saujana Utama sejak 10 tahun lalu. Beliau menulis di www.anakdisleksia.com/blog dan boleh dihubungi melalui [email protected].