Anak Istimewa

Anak Istimewa Salah Siapa?

“Sewaktu kecil, saya kerap diganggu. Suatu hari di sekolah, kanak-kanak lain mengejek saya sebagai robot kerana mereka ternampak alat bantu pendengaran saya. Saya hanya membisu. Saya pulang ke rumah dan mengadu kepada ibu bapa saya, tetapi mereka cuma berkata: terima, tekun, tabah. Saya terus belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang dihormati.” Ini adalah kata-kata Chong Kai Zhen, seorang penutur pekak yang turut serta dalam Hari Pidato Sedunia 2021. Seperti individu lain yang mengalami masalah pendengaran, Chong harus bekerja lebih keras untuk mengatasi pelbagai halangan hidup.

Melihat Chong menyampaikan ucapannya mengingatkan saya pada Rina, seorang ibu kepada dua anak yang dilahirkan dengan Down Syndrome. “Orang melemparkan pelbagai jenis komen. Malah ada yang sanggup menuding jari, menuduh saya melahirkan anak-anak ini kerana saya dan suami telah banyak berdosa.” Betapa kita ibu bapa boleh saling memandang rendah antara satu sama lain! Mustahil Tuhan menghukum anak-anak yang tidak berdosa dan tidak berdaya hanya kerana ibu bapa mereka telah melakukan kesalahan! Wujudkah insan yang sempurna, tidak cacat, tidak pernah melakukan kesalahan? Adakah mungkin Tuhan itu zalim lagi kejam? Mustahil bagi saya, dan saya harap begitulah untuk anda juga.

Saya percaya, sekiranya anda ada anak istimewa, Allah pasti memberi anda kemampuan untuk membesarkan anak seperti itu. “Kanak-kanak istimewa adalah untuk ibu bapa istimewa,” begitu kata Dr Siti Rokiah Siwok, seorang pensyarah kanan di sebuah universiti di Malaysia. Anak perempuan Dr Rokiah kini mencecah usia 40 tahun, membesar dengan masalah pendengaran yang serius, kini bertugas sebagai guru sepenuh masa. Dr Rokiah yang lebih mesra dipanggil Kak Rokiah berkongsi pengalamannya dalam sesi webinar baru-baru ini yang memfokus khusus tentang Anak-Anak Istimewa. Saya bertanya kepada Kak Rokiah bagaimana dia berjaya mengasuh anak perempuannya. “Saya berusaha melakukan yang terbaik kerana semua perbuatan baik adalah ibadah,” katanya. “Impian saya adalah untuk menubuhkan sekolah Islam bertaraf antarabangsa di mana kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran adalah sebahagian daripadanya. Semua orang mempunyai peluang untuk maju jaya, sesuai dengan kemampuan dan minat mereka.”

Menurut pakar psikiatri pediatrik, Dr Aminah Kassim, salah satu masalah yang dihadapi beliau  dalam membantu ibu bapa anak-anak istimewa adalah keengganan ibu bapa itu sendiri untuk menerima realiti bahawa anak-anak mereka berkeperluan khas. Paling ideal jika intervensi diperkenalkan pada tahun-tahun awal ketika otak masih berkembang. “Ada kes di mana ibu bapa marah dan hilang kawalan, memukul dan mendera anak-anak ini kerana mereka menganggap anak-anak ini malas dan enggan bekerjasama,” kata Dr Aminah. Inilah sebabnya penting bagi ibu bapa untuk memperkasakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang betul. Masa depan anak-anak terletak di tangan ibu bapa; ibu bapa mampu meniup atau mematahkan semangat anak-anak, samada yang berkeperluan khas ataupun tidak.

“Untuk semua ibu bapa yang mempunyai anak istimewa: anda tidak keseorangan. Penting untuk berhubung dengan ibu bapa lain yang menghadapi cabaran yang serupa. Mengetahui bahawa ada ibu bapa lain di luar sana yang berjuang sebanyak yang anda lakukan dapat membantu mengurangkan tahap tekanan anda. Ketahuilah bahawa anda tidak perlu sempurna.” kata Encik Ahmad Fitri Isahak, Presiden Dyslexia Malaysia, juga ahli panel dalam webinar tersebut. Encik Fitri cukup arif dengan cabaran yang dihadapi oleh seorang puteranya, yang juga dilahirkan dengan disleksia.

Saya masih terasa kesal setiap kali terkenangkan kisah ibu yang dihina kerana anak-anaknya dilahirkan dengan Down Syndrome; dituduh mempunyai anak-anak berkeperluan khas kerana dosa-dosa yang dilakukan olehnya dan suaminya. Walaupun dengan pemakanan terbaik dan persekitaran terbaik, anda masih boleh melahirkan anak istimewa. Anak istimewa bukan salah sesiapa. Anak istimewa  sepatutnya satu sebab yang baik untuk anda dan saya bekerjasama untuk menghasilkan yang terbaik dalam diri kita. Hanya kerana kita tidak mempunyai anak istimewa tidak bermaksud kita tidak perlu ambil peduli.

Baca artikel Bahasa Inggeris [Raising Children With Special Needs]

Image: Victoria_Borodinova

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top