Kepintaran Kewangan

Mendidik Anak Tentang Wang

Mungkin anda mengenali seseorang yang, walaupun berjaya di sekolah, kini muflis kerana dia lemah mengurus wang. Atau anda sendiri mungkin mempunyai pengalaman menyakitkan dalam menangani wang yang anda tidak mahu anak anda warisi. Kesejahteraan masa depan anak anda banyak kaitannya dengan seberapa baik dia menguruskan wang di tangannya. Seperti hampir semua perkara lain, kanak-kanak banyak belajar tentang wang berdasarkan apa yang mereka nampak orang dewasa lakukan. Anak anda memerhatikan apa yang anda beli, bagaimana anda membayarnya, dan apa pilihan anda dalam membeli itu dan ini. Pemerhatian ini berlaku pada tahap tidak sedar; lama-kelamaan, tabiat anda mungkin menjadi kebiasaan mereka. Oleh itu, ada baiknya anda ajar anak anda selok-belok tentang wang sekarang.

Mulakan dengan wawasan jangka panjang. Apa yang ingin anda capai ketika mengajar anak anda tentang wang? Saya cadangkan menanam benih hubungan positif dengan wang. Wang tentunya penting, namun wang tidak lebih daripada suatu alat, bukan tujuan hidup. Anak-anak yang ibu bapanya berdebat tanpa henti mengenai wang mungkin membina hubungan negatif dengan wang, memikirkan bahawa wang adalah akar pelbagai keperitan dan kejahatan. Sebaliknya, bayangkan pasangan yang dapat membincangkan secara rasional tentang bagaimana mereka membelanjakan wang sementara anak mereka mendengar dan menyerap getaran positif mengenai wang.

Tidak terlalu awal untuk mengajar anak tentang wang. Untuk kanak-kanak berusia 3 tahun, anda boleh membimbingnya untuk menabung setiap kali dia mendapat wang saku semasa majlis perayaan, misalnya. Pada usia enam atau tujuh tahun, sesetengah ibu bapa cenderung mula memberi wang saku untuk anak membeli makanan dan minuman dari kantin sekolah, kecuali jika anak membawa makanan dari rumah.

Mulakan dengan 3 perkara: Simpan, Sadaqah, Belanja. Anak-anak kecil lebih mudah faham sesuatu konsep apabila ia boleh dilihat secara fizikal. Mungkin anda boleh gunakan 3 balang; setiap kali dia mendapat wang saku, dia dapat mengagihkannya di antara 3 balang. Dengan cara ini, kuranglah potensi anak anda membeli sesuatu secara spontan. Dia belajar merancang apa yang harus dilakukan dengan wang yang ada di tangannya. Pembelian terancang bermaksud membeli barang yang telah difikirkan dengan teliti.

Ajar anak berfikir secara logik. Biasakan memberitahu dia mengapa anda memilih untuk membeli sesuatu dan bukan yang lain, jadi dia dapat memahami bagaimana anda menggunakan wang. Ini dipanggil kaedah keibubapaan proaktif; anda merancang bagaimana menanamkan nilai positif pada anak anda lebih awal. Perhatikan raut wajahnya semasa anda menerangkan perkara tersebut; jika dia kelihatan keliru, permudahkan kata-kata anda untuk membantunya memahami idea tersebut. Lama kelamaan, biarkan dia putuskan sendiri apa yang harus dilakukan dengan wang yang disimpannya dengan sedikit panduan daripada anda.

Fikir bagaimana anda hendak mengajar anak tentang urus niaga tanpa tunai. Fikirkan tentang penggunaan ATM. Ya, sesetengah anak menyangka, ibu bapa mencetak wang di rumah dengan mudah, terutama jika ibu bapa mereka selalu menggunakan kad kredit di kaunter pembayaran. Untuk anak ini, tiada siapa yang berusaha menjelaskan bagaimana wang berfungsi. Kanak-kanak lahir dengan naluri ingin tahu yang tinggi; mereka berusaha memahami dunia sepanjang masa berdasarkan apa yang mereka lihat anda lakukan.

Perkenalkan konsep melabur untuk menjana pendapatan. Apabila anak anda sudah bersedia, ceritakan padanya asal wang, bagaimana anda dibayar gaji setimpal dengan keringat anda. Biar anak anda tahu sejak kecil sukarnya untuk mendapat wang. Sesetengah ibubapa gemar memberi wang saku kepada anak hanya kerana mereka mengemas bilik sendiri atau mencuci pinggan mangkuk. Tetapi pada saya, ini tidak wajar kerana ianya adalah tugas yang perlu dilakukan oleh semua orang. Apabila anak agak matang, perkenalkan idea untuk melabur dengan cara yang bijak dan untuk jangka panjang, misalnya melalui cerita. Anda tidak perlu menunggu sehingga anak anda mencapai usia dewasa untuk mengajarnya mengenainya.

Adaptasi daripada: Mendidik Generasi Y & Z

Baca artikel Bahasa Inggeris: The 3S of Money Matters

 

 

Imej: nattanan23 di Pixabay

About Jamilah Samian

Jamilah has written 490 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top