Tahukah anda, anak-anak sangat sensitif dengan kualiti perhubungan anda suami-isteri? Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang sering bergolak dengan konflik di antara suami dan isteri berisiko tinggi untuk terjejas masa depan mereka. Anak-anak ini lebih mudah tergelincir ke dalam arus kehidupan yang kurang sihat – sama ada tersilap pilih kawan, mula menjinakkan diri dengan rokok, dadah dan alkohol.
Sesetengah ibu-bapa beranggapan, cukup sekadar menyediakan makan minum, tempat tinggal dan menyekolahkan anak-anak. Mungkin hantar tuisyen jika perlu, tetapi ini semua tidak semestinya memadai. Anak-anak boleh rasa dan boleh nampak sama ada ibu dan ayah saling kasih-mengasihi dan hormat-menghormati. Semakin kuat kasih sayang ibu dan bapa, semakin stabil emosi anak-anak, tidak kira berapa usia. Berikut adalah beberapa tips mudah yang anda boleh praktikkan untuk pasangan anda, demi memperkukuh kasih sayang suami-isteri. Setiap saat yang anda luangkan untuk memantapkan mahligai perkahwinan anda pasti tidak sia-sia.
- Mulakan setiap hari dengan memikirkan sesuatu yang baik tentang diri pasangan anda.
- Bangun dan tawarkan bantuan jika anda dapati si dia berjalan dengan barang yang penuh di tangan.
- Bukakan pintu untuknya apabila dia pulang.
- Pujilah penampilannya dengan ikhlas.
- Ambilkan bajunya dari kedai dobi.
- Letakkan botol minuman di sisinya ketika anda berdua memulakan perjalanan bersama.
- Sediakan tuala yang bersih untuknya.
- Sebutkan di hadapannya perihal kebaikan-kebaikan ibu bapa kandung atau sesiapa sahaja yang membesarkannya, yang anda tahu dia hormati dan kasihi.
- Urut kakinya.
- Belikan buah / makanan/ minuman kegemaran tanpa diminta.
- Atur temujanji istimewa dengannya tanpa memberitahunya terlebih dahulu (“surprise dating”).
Selamat Mencuba!
~~~
[Petikan dari “100 Kebaikan Yang Boleh Meningkatkan Tabung Cinta Anda” dari buku “Ajaibnya Kebaikan” hasil nukilan Jamilah Samian.]SKIP
Imej oleh 460273 dari Pixabay