Soal & Jawab

Anak Angkat Mangsa Dera

Soalan:

Baru-baru ini, saya dan suami mengambil seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun menjadi anak angkat. Sejak kecil dia sebelum ini sering didera. Saya amat kesiankan dirinya. Masalah sekarang: dia terlalu degil, suka melawan, nakal, agak lembap dalam pelajaran, dan suka tengok benda lucah. Juga panas baran dan tidak dapat mengawal emosi marah, sehingga anak saya yang lebih kecil menjadi mangsanya. Saya dan suami bersabar dengan kerenahnya kerana menganggap dia tertekan dan perlukan masa tetapi semakin diberi kepercayaan, dia semakin hilang hormat pada saya. Saya benar-benar ingin didik dia menjadi insan berguna. Apakah caranya? – Puan Z.

book-banners-2

Jawapan:

InsyaAllah Puan, semoga Allah permudahkan usaha murni ini.Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Jika kita minta sesuatu yang baik dari Allah, Dia pasti akan beri, terutama jika ikhlas. Apatah lagi dengan niat mahu membantu orang dalam kesulitan. Naluri kanak-kanak, ingin gembirakan orang tuanya, bukan sebaliknya. Juga cenderung kepada kebaikan, itu fitrahnya. Cuma sebelum ini tiada ”role model” yang boleh dicontohi.

Nak bentuk anak ini, fokus kepada satu perkara sahaja pada satu-satu masa. Buat masa ini, saya cadangkan beri tumpuan kepada akhlaqnya. Anak degil perlukan peraturan yang jelas, mudah difahami dan adil. Perlukan ketegasan diseimbangkan dengan kasih sayang.

Ajar dia belajar dari akibat perbuatannya. Perbuatan yang baik akibatnya baik. Perbuatan tidak baik akibatnya tidak baik.

Jika dia tidak hormat kepada Puan – beritahu apa akibatnya. Akibat ini perlu adil, tidak keterlaluan, dan dia perlu tahu sebelum dia didenda. Jika dibiarkan dia berkelakuan begini hanya memudaratkannya dan orang lain untuk jangka panjang.

Bersabar maksudnya Puan bertindak secara rasional dan wajar, bukan tidak berbuat apa-apa. Bagaimanapun jika terlalu banyak situasi di mana dia tidak menghormati Puan, tangani yang paling utama.

Bahan lucah / pornografi – Jelaskan padanya, dalam rumah Puan, tidak dibenarkan dibaca / dibawa masuk. Kalau dibaca/dibawa masuk, katakan akibatnya – umpamanya diambil dan tidak dikembalikan semula.

Sumber pornografi melalui bahan elektronik – Komputer, laptop dsbnya diletakkan di ruang di mana ahli keluarga lain boleh lalu lalang dengan bebas. Tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bilik. Tetapkan bila dan berapa lama boleh menggunakan komputer. Begitu juga TV, perlu ada struktur dan jadual.

Boleh dibawa berbincang tentang betapa perlunya kepercayaan. Kalau boleh adakan metafor yang mudah dia faham. Umpamanya kisah budak yang suka berbohong, lama-kelamaan tiada siapa yang percaya kata-katanya.

Cara proaktif untuk membuatkan dia merasa disayangi: Setiap hari sapa, ucapkan salam, sentuh/peluk, sangka baik bahawa dia akan jadi anak yang baik. Bagaimanapun, anak yang didera mungkin tidak selesa untuk disentuh pada mulanya, jadi ini mengambil masa. Paling penting, tunjukkan wajah manis bila menegurnya setiap pagi. Bermakna, setiap hari, mulakan lembaran baru. Juga setiap malam sebelum dia tidur, ajar dia berdoa, membaca ayat Kursi, 3 Qul dsbnya.

Bersolat jamaah setiap awal waktu sekerap boleh – sekurang-kurangnya satu atau dua kali sehari.

Pendekata buat masa sekarang, fokus kepada akhlaq, tentang akademik tangguh dulu. Jika tidak dikhuatiri dia merasa terlalu tertekan. Bagaimanapun, kalau boleh adakan waktu untuk dia belajar setiap hari, bersama semua ahli keluarga.

Sangat penting – Kalau sudah didenda kesilapan lalu, jangan disebut-sebut lagi.

Juga perlu diisi jiwanya dengan kisah-kisah AlQuran, supaya terbit rasa sayangkan Allah dan rasulNya serta cenderung kepada kebaikan. Perbanyakkan doa Puan.

Emosi marah : sila rujuk artikel saya di pautan berikut :

https://coolmumsuperdad.com/rahsia-mendidik-anak-hebat/kepintaran-emosi-marah-ada-hikmahnya/

Paling penting Puan dan suami mesti berbincang dahulu supaya tindakan sekata dan serasi. Anak yang degil biasanya cerdik dan ada kemungkinan jadi pemimpin, cuma perlukan bimbingan dan banyak kesabaran serta ketegasan. Bukan kekerasan.

Puan juga boleh rujuk artikel “Anak Degil Apa Ubatnya: Bahagian I” berikut:

https://coolmumsuperdad.com/soal-jawab/anak-degil-apa-ubatnya-bahagian-satu/

dan Bahagian II:

https://coolmumsuperdad.com/soal-jawab/anak-degil-apa-ubatnya-bahagian-dua/

Harap ini dapat membantu Puan sekeluarga. Wassalaam.

book-banners-2

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top