Events

“Anak Anugerah Terindah”: Parenting for Dummies

[Laporan oleh: Kelab Belia Integrasi, Miri, Sarawak.]

 

Alhamdulillah – segala puji dan syukur bagi Allah – pada Sabtu lepas, 14hb November 2015, Kelab Belia Integrasi (KBI), dengan kerjasama dan anjuran bersama Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) Operasi Sarawak (SKO), dengan jayanya telah menganjurkan kursus keibubapaan “ANAK : ANUGERAH TERINDAH”.

 

12241042_715689435227776_4373843210359509099_o

 

Bertempat di Auditorium PETRONAS Carigali Sdn Bhd Operasi Sarawak (SKO) di Lutong, Miri, kursus ini dihadiri oleh 111 peserta, dan telah disampaikan oleh Encik Ahmad Fakhri bersama dengan isterinya, Puan Jamilah Samian, pakar dalam kursus motivasi dan keibubapaan dan penulis untuk buku-buku seperti “Ibu Kool Bapa Hebat”, “Ajaibnya Kebaikan”, “Tips Mendidik Generasi Y dan Z”, “Anak Lelaki Kool & Hebat”, beserta dengan penampilan khas daripada Ustaz Nassru Abdul Latif, pendidik daripada Sekolah Rendah Syed Othman, Miri.

 

12244720_715689975227722_3886024845127754014_o

 

Kursus ini merangkumi topik-topik asas yang sewajarnya diketahui oleh semua ibu bapa dan bakal ibu bapa, seperti kepentingan perkahwinan bahagia dalam membentuk ibu bapa berjaya, kepentingan komunikasi dan kasih sayang, pemahaman dalam perbezaan generasi dahulu dan sekarang serta cabaran dan solusi menangani perbezaan-perbezaan tersebut, serta teknik berbeza dalam mendisiplinkan anak-anak.

 

12240445_715690195227700_5733480811616895062_o

 

Selain daripada kandungan kursus itu sendiri, bagi memudahkan penyertaan ibu bapa ke kursus, peserta juga disediakan dengan kemudahan Bilik Ibu, serta kemudahan percuma untuk penjagaan kanak-kanak berumur 4-6 tahun di Zon Kindergarten yang dikendalikan oleh Kakitangan TASKI ABIM, dan perkhidmatan Zon Nembiak (Kanak-Kanak) bagi kanak-kanak berumur 7-12 tahun, di mana dianjurkan aktiviti “team building” yang dikendalikan oleh sukarelawan KBI dan pendidikan solat oleh Ustaz Nassru. Seramai 23 kanak-kanak berdaftar di bawah Zon Kindergarten, manakala 9 orang kanak-kanak berdaftar untuk Zon Nembiak.

 

1965501_715689968561056_6038660147620873723_o

 

Seramai 80 peserta telah memberi maklumbalas bertulis tentang kursus, dan alhamdulillah, secara keseluruhannya, pihak penganjur mendapat maklumbalas yang sangat positif dan menggalakkan, beserta dengan permintaan untuk diadakan lagi kursus sebegini pada masa akan datang untuk memanfaatkan ramai lagi di kalangan masyarakat.

Bagi pihak penganjur kami memohon maaf atas segala kekurangan, dan mohon kongsi maklumbalas lagi kepada kami ke arah penambahbaikan pada kursus-kursus dan acara pada masa hadapan.

 

12248053_715688755227844_4792900268351574936_o

 

Kami berdoa kepada Allah agar kesemua ilmu yang telah dikongsi akan bermanfaat bagi peserta dan akan membantu kesemua peserta dalam perjalanan mereka sebagai ibu bapa, ke arah membesarkan insan yang cemerlang, yang akan membimbing ummat kita ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat – dan semoga usaha kita semua bersama menjadi saham pelaburan kita di akhirat seperti mana yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad : ﷺ

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah segala amalan kebajikannya, kecuali tiga:
1) Sadaqah Jariah (yang berterusan)
2) Ilmu yang terus dimanfaatkan
3) Anak salih yang mendoaakannya”
(Hadith Riwayat Muslim, an-Nasa’i, dan at-Tirmidzi)

Juga tidak dilupakan, kepada semua sukarelawan yang bertungkus lumus terlibat dalam menjayakan kursus ini, diucapkan ribuan terima kasih dan jazakumUllahu khayran – semoga Allah membalas anda dengan kebaikan.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Wahai Tuhan kami! Hadiahkanlah kepada kami – antara pasangan dan anak-anak kami – kesejukan hati kami, dan jadikanlah kami imam (ketua) kepada orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Furqan, ayat 74)

 

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top