Rahsia Mendidik Anak Hebat

Lindungi Masa Depan Anak Anda

Seorang guru pengendali kelas hafazan Al-Quran menceritakan tentang pelajarnya, seorang budak lelaki berusia 5 tahun yang tidak dapat mengingati ayat-ayat yang sudah puas dibaca berulangkali. “Saya hairan kerana anak ini telah menghafal dengan baik pada tahun sebelumnya,” ujar beliau. “Kini anak itu menjadi semakin sukar untuk menghafal. Benar, sesetengah kanak-kanak lebih cepat belajar dan ada yang lebih perlahan, tetapi berdasarkan pengalaman, saya tahu tidak sepatutnya ada banyak perbezaan. Walaupun agak ‘lambat’, mereka tetap ada tahap hafalan minimum yang boleh dicapai.”

Guru itu bertanya kepada ibu kanak-kanak itu, apakah yang dilakukan di rumah untuk menggalakkan anak tersebut melaksanakan sesuatu tugasan hafalan. “Saya menggunakan sistem ganjaran,” kata si ibu. “Selepas selesai waktu menghafal, saya berikan anak bermain dengan tablet.” Guru itu kemudiannya meminta si ibu memerhatikan apa yang dilayari oleh anaknya itu pada tablet secara senyap-senyap. Alangkah terkejutnya si ibu apabila mendapati anaknya mengakses laman web lucah. “Itulah yang menyukarkan anak Puan untuk menghafal Al-Quran,” kata guru itu.

Imej lucah merangsang otak dan menyebabkannya menghasilkan bahan kimia yang dipanggil dopamin. Dopamin mempunyai banyak fungsi, salah satunya untuk membuat kita berasa seronok. Apabila otak sudah dibiasakan melihat imej-imej ini dan sudah selalu diberi ‘ganjaran’ dopamin, minat dan keupayaan kanak-kanak untuk melaksanakan tugas yang memerlukan usaha dan disiplin akan merosot.

Saban tahun, kanak-kanak terdedah kepada imej lucah dalam bentuk pop-up di skrin iPad, tablet dan sebagainya, pada usia yang semakin muda berbanding sebelumnya. Sebahagian besar mereka terjumpa laman web lucah secara tidak sengaja lalu menjadi ketagih. Ibu bapa yang kurang peka merasa lega kerana anak-anak serta-merta menjadi ‘khusyuk’ apabila diberikan gajet; leka dan tidak lagi meminta itu dan ini dari ibu bapa. Betapa mudahnya membesarkan anak pada zaman ini! Namun, ramai ibu bapa tidak sedar yang mereka secara tidak sengaja telah mendedahkan anak mereka dengan ketagihan yang boleh mendatangkan masalah besar. Anak-anak ini pula pasti tidak sedar otak mereka sudah dipengaruhi oleh imej-imej ini.

Pemulihan daripada sebarang jenis ketagihan bukanlah proses yang mudah.

Ketagihan yang berpanjangan menyebabkan pengguna bukan sahaja menjadi lebih impulsif, malah menjadikan mereka tunduk kepada keinginan yang meluap-luap. Setiap kali berhadapan situasi yang menekan, mereka mencari jalan mudah dengan mengalihkan perhatian kepada bahan ini. Apabila mereka kerap tunduk kepada keinginan terhadap bahan lucah, laluan otak yang membawa kembali kepada tabiat itu menjadi semakin dalam, membuatkan mereka lebih sukar untuk keluar daripada kitaran ini. – [Rujukan: Fight The New Drug: Porn Addiction Escalates]

Kemajuan teknologi telah membuka jalan untuk kita mempelajari sesuatu yang sebelum ini berada di luar jangkauan. Kelas dalam talian begitu popular sekarang; satu-satunya perkara yang menghalang kita daripada mencari ilmu mungkin cuma sikap malas dan suka bertangguh. Namun, teknologi juga membuka jalan kepada ‘sumber’ lain yang boleh memudaratkan fizikal, minda dan jiwa.

Masa depan umat manusia terletak pada tangan anak-anak kita. Sudah pasti kita mahukan mereka ‘ketagih’ berfikir dan berbuat perkara yang baik, membantu orang lain dan yang paling penting, ‘ketagih’ dengan Al-Quran supaya mereka mendapat petunjuk sepanjang hayat. Namun kita tidak akan dapat melahirkan anak-anak seperti itu jika kita tidak maklum atau memilih untuk menutup mata kepada dunia realiti yang didedahkan kepada mereka.

Semuanya kembali kepada amalan asas keibubapaan – berbuat baik kepada anak-anak, berlaku tegas apabila perlu dan luangkan masa untuk anak. Membiarkan anak-anak melayari YouTube dan sebagainya tanpa pengawasan, memberikan kepercayaan kepada mereka sedangkan mereka belum bersedia bukanlah satu perkara yang bijak walaupun ia dilihat sebagai sesuatu yang menarik.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini: Fight For Our Children’s WellBeing

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top