Rahsia Mendidik Anak Hebat

‘Doodling’ – Cara Mudah Memupuk Otak Anak Menjadi Lebih Bijak dan Gembira

Jika anak anda pernah melukis contengan seperti tulisan cacing di sepanjang margin bukunya, ada baiknya jika anda memberikannya pujian atau galakan. Contengan atau lorekan ini, yang dikenali sebagai mendudel (aktiviti ‘doodling’) mungkin tidak kelihatan cantik pada pandangan anda namun ia boleh menjadi bukti daya kreativiti anak anda yang membantunya membina daya tumpuan.

Menurut kajian yang dijalankan di Universiti Plymouth, aktiviti mendudel (‘doodling’) boleh membantu anak anda menangani kebosanan. Dalam kajian tersebut, orang yang mendudel dapat menyimpan lebih banyak maklumat daripada mereka yang hanya mengambil nota.

Ini bermakna jika anak anda mendudel semasa guru sedang mengajar di dalam kelas, dia bukannya tidak memberi perhatian. Sebaliknya, dia mungkin memberikan lebih tumpuan kepada apa yang sedang dikatakan dan dilakukan oleh guru. Sewaktu zaman persekolahan, anda mungkin saksikan sendiri guru yang memarahi rakan sekelas anda yang mendudel ketika beliau sedang mengajar. Lebih teruk lagi, sang guru merampas kertas itu dan membuangnya. Saya bernasib baik kerana sebagai pendudel, saya tidak pernah ditangkap di dalam kelas, walaupun sesetengah margin buku teks saya dipenuhi dengan pelbagai bentuk garisan dan corak yang tidak teratur. Saya tahu risiko sekiranya ditangkap oleh guru namun keinginan saya untuk mendudel terlalu kuat untuk diabaikan. Jika saya tidak mendudel, saya pasti tertidur.

Pemahaman yang lebih mendalam tentang aktiviti mendudel dapat memberikan pencerahan yang lebih berkesan mengenai cara otak berfungsi, selain membantu ibu bapa dan pendidik membezakan antara tingkah laku yang positif dan negatif pada kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa dan guru menganggap dudel sebagai gangguan kepada tumpuan seorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, kajian yang dinyatakan di atas mencabar tanggapan yang sudah lapuk ini. Oleh itu, guru atau ibu bapa yang bijak boleh membezakan jika seorang kanak-kanak tidak mempedulikan mereka, atau cuba menumpukan perhatian dengan mendudel.

Mendudel juga boleh dijadikan kaedah untuk menggabungkan sesuatu konsep, mencipta ruang untuk minda berfikir dengan bebas dan mengekspresikan diri dengan cara yang terbaik kerana pendudel cuba memahami apa yang dilihat dan didengar secara langsung. Dudel terbaik adalah yang dilukis secara spontan. Ia tidak semestinya cantik namun logik dan sempurna kepada pelukisnya. Kanak-kanak dan orang dewasa mempunyai cara yang berbeza untuk memproses maklumat. Mendudel adalah satu daripadanya.

Fikirkannya begini ~ mendudel membantu kita merakam maklumat yang kompleks. Daripada menghabiskan masa mencatat perkataan demi perkataan, pendudel mungkin mengambil masa yang lebih pantas untuk meringkaskan maklumat itu sebagai satu kaedah untuk mengingatkannya semula kemudian.

Saya percaya mendudel boleh merungkaikan fikiran yang bercelaru sebaik sahaja seseorang menzahirkannya ke atas kertas. Jika anda bukan seorang pendudel, atau anda seorang pencinta alam sekitar yang tegar, tetapi anak anda suka mendudel, dia mungkin boleh menggunakan tablet grafik iaitu pad dudel elektronik yang boleh mengelakkan pembaziran kertas.

Tidak lama selepas tamat persekolahan, anak perempuan saya membeli tablet grafik pertamanya, hasil titik peluh mengajar secara sambilan. Sekarang beliau seorang doktor dan masih mendudel. Ia membantunya merehatkan fikiran. Hasil kerja beliau membantu pelajar perubatan dan doktor pelatih supaya dapat melakukan tugas dengan lebih baik. Lihat hasil kerjanya di sini. Adik lelakinya juga mendudel. Sila lihat di sini.

Pendukung aktiviti mendudel menegaskan ia bukan sahaja membantu mereka menyelesaikan masalah. Mendudel juga berupaya merangsang pusat saraf yang mampu meningkatkan daya kreativiti dan keyakinan diri.

Bukan itu sahaja. Mendudel boleh membantu kanak-kanak dan orang dewasa melegakan tekanan. Ada masa tertentu, sesetengah emosi sukar untuk dibendung. Mendudel boleh membantu melegakannya kerana tidak semua orang mahu membincangkan masalah mereka dengan orang lain. Sekurang-kurangnya, pelbagai dudel yang terhasil seperti garisan bengkang bengkok atau beralun, melengkung atau bergelung, boleh membantu pemikiran seseorang dengan meningkatkan kesejahteraan emosi.

Jika anak anda gemar mendudel, usah menganggapnya membuang masa. Mungkin ia tiada kena mengena dengan kekurangan tumpuan. Proses pembelajarannya, cara anak-anak menangani masalah, mencari penyelesaian dan membangunkan idea mungkin tidak sama dengan anda dan saya. Bagi anda yang belum pernah mendudel, tiada apa yang menghalang anda daripada mencuba. Saya jamin, ia aktiviti yang menghiburkan, merangsang fikiran dan mendatangkan satu kepuasan, InsyaaAllah.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini:  Doodling: A Simple Way to Let Your Child Grow Smarter and Happier

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top