Soal & Jawab

Perbaiki Akhlaq Anak Dengan Strategi ‘Akibat’

Seorang ibu memberitahu, “Saya terkejut bila mendapat tahu anak lelaki saya yang berusia tiga belas tahun melayari laman web pornografi. Apakah yang wajar saya lakukan? Saya sudah memarahinya beberapa kali, tetapi dia tidak pedulikan saya.” Daripada riak wajahnya, saya dapat merasakan betapa tertekannya ibu ini. Budak lelaki ini anak sulung daripada empat beradik.

Sejujurnya, perkara ini boleh berlaku pada mana-mana ibu bapa. Jadi, jangan cepat melatah dengan mengatakan “Ia tidak akan berlaku kepada saya.”

Satu kaedah untuk menangani masalah ini ialah dengan menggunakan strategi ‘akibat’ (‘consequence’). Akibat ialah hasil langsung (‘direct result’) daripada sesuatu tingkah laku. Contohnya, anak anda yang berusia dua tahun mengambil kasut dan memakainya pada sebelah kaki. Anda melihatnya dan bertepuk tangan. Anak anda memandang anda dan tersenyum tanda gembira. Dia tahu akibat daripada memakai kasut sendiri adalah satu tepukan. Dia berasa seronok untuk mengulangi perbuatan yang sama. Lama kelamaan, perbuatan memakai kasut sendiri menjadi satu tabiat.

Strategi ‘akibat’ mudah digunapakai. Tingkah laku yang baik mendatangkan akibat yang baik dan positif. Sebaliknya, tingkah laku yang buruk mendatangkan akibat yang buruk dan negatif.

Dalam kes remaja berusia 13 tahun yang ditangkap melayari laman web lucah di atas, satu-satunya akibat yang diterima ialah dimarahi ibunya. Itulah satu-satunya perkara yang berlaku setiap kali dia melakukan sesuatu kesalahan. Anak itu sedar yang itu sahaja akibat yang akan diterima dan tiada yang lain. Lama-kelamaan, mungkin dia sudah belajar menenggelamkan kata-kata marah ibunya, tidak mempedulikan ibunya, walaupun si ibu berdiri di sebelah.

Persoalan seterusnya ialah, apakah akibat yang wajar untuk salah laku ini? Keputusan ini perlu disepakati oleh anda dan suami/isteri. Kedua-dua ibu bapa perlu berbincang untuk mencapai persetujuan mengenainya. Sebagai permulaan, salah satu akibat yang sesuai adalah mengambil laptop atau tablet daripada anak ini, sekurang-kurangnya seminggu. Seorang remaja berusia 13 tahun sudah cukup besar untuk dipertanggungjawabkan ke atas tindakannya. Tiada siapa yang memaksa atau mengugutnya untuk melayari laman web ini. Dia melakukannya atas kemahuan sendiri.

Sekarang, fikirkan tingkah laku anak anda yang mahu anda ubah. Pastikan akibat yang mereka terima sehingga kini mengukuhkan lagi tingkah laku tertentu. Manusia selalunya terikat dengan kebiasaan. Fokuskan kepada mempertingkatkan tingkah laku yang baik dengan akibat positif dan kurangkan tingkah laku yang buruk dengan akibat negatif. Namun, bertindaklah dengan adil dan usah keterlaluan kerana sesuatu tingkah laku akan menjadi kebiasaan dari masa ke masa. Fikirkan akibat yang bersesuaian dengan usia dan kematangan anak-anak. Tingkah laku mereka ibarat tanah liat; bentukkan ia dengan lembut tetapi tegas.

Perlu juga diingat, memupuk akhlaq yang baik adalah lebih daripada sekadar akibat. Adakah anda pasti anda sudah memberikan anak anda perhatian yang tidak berbelah bagi? Adakah anak anda mempunyai alternatif yang sihat untuk mengisi masa mereka atau adakah terdapat sebarang isu lain yang tersirat? Walau apa pun yang berlaku, jangan berputus asa. Semakin anak anda meningkat dewasa, lebih kuat hubungan yang perlu anda bina berdasarkan kesedaran dan kepercayaan. Lagipun, siapakah yang akan mengawasi anak anda apabila dia mencecah usia tiga puluh tahun nanti?

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini:  How Fair Consequences Can Make Your Child Behave Better

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 544 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top