Rahsia Mendidik Anak Hebat

Guru dan Ibu Bapa: Gandingan Usaha Anak Berjaya

Tahukah anda, hubungan positif dengan guru anak anda boleh membantu meningkatkan prestasi anak anda di sekolah, sekaligus mencegah salah laku yang tidak diingini?

Sesetengah kanak-kanak cenderung menunjukkan personaliti sebenar mereka di sekolah berbanding di rumah. Jika guru anak anda selesa dengan anda, dia akan memberitahu anda sekiranya ada masalah di sekolah, sebelum ia menjadi terlalu serius untuk ditangani.

Sewaktu anak sulung saya berusia sebelas tahun, saya mendapat panggilan dari sekolah. “Anak puan baru sahaja ke klinik,” kata guru itu. Malang tidak berbau, anak saya cedera akibat terkena paku tajam yang terpacak di dinding. “Anak puan sungguh berani,” tambah guru itu tenang. “Dia tidak panik ketika di sekolah dan di klinik apabila doktor menjahit lukanya.”

Beberapa hari kemudian saya terfikir, alangkah eloknya jika saya pergi sendiri berjumpa guru tersebut, setidak-tidaknya untuk menyampaikan ucapan ikhlas ‘Terima Kasih’.

Saya sedar, bukan mudah mengurus satu kelas dengan anak-anak pelbagai ragam, yang mungkin hadir ke sekolah dengan seribu satu bebanan; perut yang lapar, fikiran menerawang kepada ibu bapa yang berantakan di ambang berpisahan, dan lain-lain lagi. Anda mungkin berkata, ‘Tak kan lah semua kanak-kanak bermasalah seperti itu!’.Hakikatnya, beberapa pelajar yang bermasalah sudah cukup mencetus huru hara yang sukar dikawal dalam kelas yang ada tiga puluh pelajar atau lebih.

Alangkah elok jika di peringkat awal sekolah bermula, saya mengambil masa untuk bertemu dengan guru kelas anak saya itu dan memberikannya nombor telefon saya sekiranya dia memerlukannya. Tidak perlu dia bersusah-payah ke pejabat mencarinya. Membuatkan dia lapang dada, supaya dia tahu saya menghormatinya sebagai guru anak saya, insan yang dipercayai sebagai penasihat anak saya. Bermakna, dia bukannya ‘orang asing’ bagi saya dan anak saya.

Malangnya, ‘orang asing’ merupakan gelaran yang mencerminkan hubungan antara kebanyakan ibu bapa dan guru.

Tahukah anda, sebilangan ibu bapa resah, tidak tidur nyenyak di malam hari, tertanya-tanya sama ada anak mereka cemerlang atau gagal atau biasa-biasa sahaja di sekolah? Mereka tidak pernah terfikir yang satu lawatan singkat ke sekolah, perbincangan yang jujur dan mesra dengan guru – mungkin itu yang diperlukan untuk menjernihkan suasana, menyemai bibit kepercayaan dan persahabatan, demi memupuk potensi anak yang dididik.

Namun, apa yang selalu berlaku, kita tidak mempedulikan guru-guru anak kita. Kita menyangka sekolah dan rumah adalah dunia yang terpisah dan sama sekali berbeza, jadi, peduli apa? Kita mengandaikan yang para guru sudah dibayar gaji untuk mengajar jadi kita biarkan sahaja mereka menjalankan tugas mereka.

Sesetengah ibu bapa pula ibarat racun. Mudah melatah jika ada sesuatu yang tidak kena. Lebih buruk lagi, penggunaan media sosial seperti Whatsapp dan Facebook ada kala dijadikan platform untuk melepaskan emosi marah melulu. Begitu mudah meluahkan perasaan marah dan kecewa, anda terlupa yang anda berurusan dengan seorang manusia. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Bayangkan jika anda sebagai ibu atau bapa, beralih daripada ‘musuh’ kepada ‘rakan’. Atau daripada ‘saya peduli apa?’ kepada ‘apa yang boleh saya bantu?’ Runtuhkan tembok yang menghalang anda daripada berhubung dengan guru anak anda. Usah hanya sekadar meminta anak anda membawa pulang Kad Laporan hujung tahun. Sebaliknya, curi sedikit masa dalam jadual sibuk anda untuk mengenali guru-gurunya. Bayangkan bagaimana sikap anda boleh mengubah perspektif anak anda sekiranya dia tahu yang anda tahu apa yang dilakukannya di sekolah.

Guru boleh menjadi pencetus kejayaan anak kita. Paduan tenaga ibu bapa dan guru boleh membimbing anak anda menuju kecemerlangan. Jadi, mengapa tidak membuat janji temu untuk berjumpa guru anak anda hari ini? Mengapa tidak sekarang?

 

 

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Foto oleh: MART PRODUCTION

Baca artikel asal di sini:  Teacher: Parent’s Friend or Foe?

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top